Maaf Tangan Saya 'Kotor'

Assalamualaikum W.B.T. Sahabat semua apa khabar? Semoga Allah merahmati kita semua. Hari ni nak share sikit pasal BOLEH atau TIDAK BOLEH kita ( tak kira adam atau hawa ) bersalaman dengan orang yang BUKAN MAHRAM yang telah dianggap berusia atau yang dianggap seperti ayah atau ibu kita? Apakah situasi yang membolehkan kita bersalaman dengan orang BUKAN MAHRAM, kerana ada yang menyatakan bahawa kita menyambut salam seseorang jika keadaan situasi itu akan memalukan dirinya??? 

 Jom kita gali dalam-dalam,

 Rasulullah SAW bersabda: " Sesungguhnya aku tidak berjabat tangan dengan perempuan. Ucapanku kepada seorang perempuan seperti kataku pada seratus perempuan." ( Hadis Riwayat Ibnu Hibban, Malik & Nasa'i ) 


 Rasulullah SAW juga pernah bersabda: " Tidak aku menyentuh tangan perempuan ( ajnabi/bukan muhrim )" ( Hadis Riawayat at-Thabrani, daripada Uqailah binti Ubaid ). 


 Kedua-dua hadis ini jelas menunjukkan bahawa bersentuhan tangan antara lelaki dan perempuan bukan daripada amalan Nabi Muhammad SAW, para sahabat dan salafussoleh. Maka secara jelas ia buka budaya yang baik. Hadis seterusnya menyebut daripada Ma'qilbin Yasaar katanya, "Rasulullah SAW telah bersabda: "Sesungguhnya jika dicerca kepala salah seorang daripada kamu dengan alat daripada besi adalah masih lebih baik baginya daripada menyentuh perempuan yang tidak halal baginya (bukan mahramnya)." (Hadis riwayat at-Thabrani & al-Baihaqi, Sahih)


 Majoriti ulama silam dan kontemporari berpandangan ia adalah haram kerana tergolong dalam perilaku yang boleh membawa kepada zina. Islam tidak melarang sesuatu perkara melainkan hikmah kepadanya. Sebahagian kecil ulama pula, khususnya ulama kontemporari berpandangan berjabat tangan lelaki dan wanita boleh dibenarkan jika:- 

 > Dilakukan tanpa syahwat.
 > Tidak mendatangkan fitnah pada dirinya dan orang yang berjabat tangan dengannya. 
> Tidak membawa mudarat kepada reputasi agama yang dipegangnya di mata khalayak khususnya pengikut dan muridnya. 
> Dimulakan oleh orang lain (contohnya wanita bukan Islam menghulurkan tangan di tempat awam yang jika tidak disambut boleh mengaibkannya). 
> Dilakukan oleh individu berumur dan tidak mudah menaikkan syahwat, secara normalnyaseperti individu berusia &0 tahun ke atas dan beberapa syarat lagi.
 > Tangan dihulur oleh kaum kerabat atau keluarga yang belum cukup faham berkenaan hukum. 


Namun harus diingat, mereka yang mem'boleh'kan bersalaman antara lelaki dan wanita ini telah meletakkan syarat-syarat dan bukannya dibolehkan secara umum. Ini kerana dalam kehidupan seharian, terkadang kita berhadapan dengan situasi orang berlainan jantina menghulurkan tangan untuk bersalaman. Sebagai contoh apabila menerima sijil atau anugerah, penyampai anugerah itu akan menghulurkan tangan. Apabila kita melawat rumah orang, dan tuan rumah menghulurkan tangan. Apabila tetamu datang, dan dia menghulurkan tangan. Dalam semua kes, kita menghadapi dilema apabila orang yang berlainan jantina menghulurkan tangan untuk berjabat. Secara jelas hukum telah menunjukkan selagi ianya tidak mendesak, maka kita perlu elakkan. 

Saya mahu kongsikan beberapa cara untuk mengelakkan kita berjabat tangan dengan berlainan jantina. Apabila mendekati tetamu, letakkan tangan di belakang. Ini merupakan signal pertama bahawasannya kita tidak mahu bersalam. Tetapi jika dia tetap hulur, katakan kepadanya tangan kita kotor atau mempunyai wudhuk. Ciptalah apa jua alasan atau helah kecil. Sebaiknya, bagi mereka yang berkemampuan, boleh memakai sarung tangan agar tidak berlaku banyak sentuhan yang terlarang. Sekian.
[ 0 comments ]